Monday, May 6, 2013

Elakkan Berkelahi? Tips yang baik ni.. :D


Kenapa perlu lama muka berkerut, memendam marah tanpa mencari penyelesaian? Bagai kata orang tua, jangan ikut kata hati ketika penuh dengan amarah kerana bimbang akan menyesal kemudian hari. MURSHID EUNOS cuba membantu anda dalam mengenali situasi ketika 'berperang'.
Bermasam muka, merajuk dan akhirnya membawa kepada perkelahian sebelum sesuatu masalah itu berjaya diselesaikan adalah satu proses normal dalam sesebuah hubungan. Bukan saja pada pasangan bercinta, tapi perselisihan faham adalah tindakan kebiasaan untuk rutin manusia. 
Bagaimanapun ada cara dan gaya yang lebih tepat dalam mengendalikan situasi perselisihan pendapat ataupun salah faham. Jangan hanya ikut rasa hati dan jiwa memberontak ketika itu, nanti akhirnya nanti menangis menyesali perbuatan sendiri. 

Jika dilihat pada perspektif lebih luas, perselisihan faham dan salah sangka adalah perkara normal dalam sesebuah percintaan khususnya golongan muda yang penuh sifat teruja untuk bercinta.

Dek kerana terlalu sayang dan yakin, ia membuka lebih ruang untuk kita rasa bimbang dan ragu-ragu kepada pasangan sedangkan tiada apa perlu dirisaukan. Itu senario biasa yang berlaku kepada pasangan anak muda yang bercinta.

Namun tidak boleh dinafikan yang bergaduh dalam hubungan adalah terapi terbaik untuk mencari titik persefahaman dan ruang mengenali pasangan dengan lebih baik. Itulah realiti yang akan dilihat sama ada sifat sebenar dan ciri-ciri baik dalam diri pasangan kita. 

Kesimpulannya, apabila bergaduh dan melalui proses menyelesaikan masalah itu, kita mampu melihat kepimpinan dan kematangan dalam diri orang yang disayangi itu sama ada dia benar-benar sesuai atau hanya sementara yang singgah dalam hati kita. 

Namun GEN.Y meneliti beberapa bahan bacaan dan merujuk pada luahan hati beberapa remaja menerusi laman sosial dan blog, lebih 80% pergaduhan yang timbul adalah berpunca daripada perkara remeh yang tidak sepatutnya berlaku. 

Bagaimanapun kerana ikutkan rasa marah dan geram ketika itu, perasaan itu berlarutan hingga menyebabkan perpisahan atau lebih kronik daripada apa yang difikirkan. Itulah dikatakan anak muda yang tidak matang dalam membuat keputusan.

Malah cara menyelesaikan masalah dan proses menjelaskan menjernihkan semula keadaan terlalu longgar untuk pasangan muda kerana masing-masing tidak mampu mengawal perasaan. 

Justeru GEN.Y ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu diketahui oleh anda bagi memastikan setiap masalah yang timbul mampu diselesaikan dengan baik.

Ingat, setiap kali timbul perselisihan faham atau salah seorang daripada anda meninggikan suara mempersoalkan sesuatu perkara, jangan pula kita beradu vokal dengannya. Sama naik tinggikan suara hingga hilang rasa hormat antara satu sama lain.

Bercinta adalah proses menerima seadanya kelebihan dan kelemahan pasangan. Justeru mengapa kita tidak mampu menerima kekurangannya yang dengan tiba-tiba meninggikan suara mempersoalkan sesuatu walaupun kita tahu salah itu bukan datang daripada kita. 

Semat dalam fikiran merendahkan nada suara dan bercakap dengan tenang dan tidak menengking amatlah penting apabila membincangkan sesuatu konflik. Suasana tenang membolehkan anda dan pasangan mendengar dengan lebih baik apa yang diperkatakan terhadap satu sama lain. Konflik dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan tidak merebak dengan lebih teruk dan merosakkan.

Beralah tidak bermaksud kita kalah sebaliknya ia mencerminkan sikap matang dan profesional kita dalam menangani sesuatu masalah. Biarkan dia melepaskan rasa marahnya terlebih dulu dan kita hanya mendengar dengan tidak meninggikan suara.

Kedua, perlu diingat, dengarlah dengan teliti mengenai apa yang diluahkannya. Walaupun susah nak dibuat, namun anda perlu cuba menjadi seorang pendengar yang baik dan teliti. 

Si dia sedang cuba untuk mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi tapi disebabkan anda tak ambil perhatian, tak dengar dengan baik dan teliti, bukan saja membuatkan cadangan dia anda tak diambil kira, malah anda pula mungkin akan memberi jalan penyelesaian yang merapu serta merumitkan keadaan yang sedia keruh.

Ketiga, jangan timbulkan isu-isu remeh. Bila tengah bergaduh, jangan timbulkan perkara-perkara kecil yang langsung tak membantu selesaikan masalah. Tak perlulah diungkit perkara-perkara itu dan sila fikir sebelum timbulkan benda-benda kecil macam ini sebab ia takkan membantu malah ia akan menyemarakkan lagi api kemarahan dan memburukkan lagi keadaan.

Keempat, jangan bersyarah terlalu panjang. Bila anda mula bersyarah dengan panjang lebar kepada seseorang itu mengenai kesalahannya, ini boleh mencetuskan perasaan yang amat tidak selesa dalam dirinya.

Perasaan memberontak dan tidak puas hati terhadap anda boleh wujud hasil dari sikap berkenaan. Oleh itu, adalah lebih baik anda bercakap mengenai bagaimana cara untuk membetulkan kesilapan yang berlaku supaya anda dapat menyelesaikan masalah yang timbul dan juga supaya perkara itu tidak berulang lagi di masa hadapan.

Terakhir sekali, mungkin paling penting, janganlah membalas dendam. Selalunya, bila hati seseorang itu benar-benar disakiti oleh pasangannya, dia juga akan bertindak balas untuk menyakiti hati pasangannya semula.

Anda dinasihatkan agar tidak bertindak begitu. Bila anda salahkan pasangan anda mengenai sesuatu perkara dan cuba buat dia rasa bersalah, anda mengatakan bahawa anda betul dan dia salah, hukuman telah dijatuhkan, susah nak selesaikan pergaduhan anda!
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02http://www.hmetro.com.my/articles/Elakkanberkelahi/Article

No comments: