Wednesday, December 22, 2010

Sebuah Mahar Cinta

Nabi saw bersabda;
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara . Kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya akan beruntunglah kedua-dua tanganmu”
 (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persediaan Melayarkan Sebuah Bahtera Kasih

Orang bujang yang yang masih rasa malu-malu atau lucu apabila memperkatakan tentang hal ehwal perkahwinan, ia adalah salah satu tanda yang dirinya belum sampai masa untuk berkahwin.
Bersedialah dari sekarang, kemantangan anda dinilai, sebelum sebuah bahtera perkahwinan bersedia dilayarkan. Penulis berpandangan isteri beragama yang dimaksudkan Rasulullah saw tidak semestinya diukur dari sudut jurusan ilmu atau bidang pengajian semasa di universiti, tetapi akhlaknya dan sejauh mana amalannya terhadap ilmu-ilmu syariat yang dipelajarinya walaupun sedikit.

Lebih penting hikmah yang diperolehinya setelah amalan dilakukan dengan ikhlas. Disiplin akademik di universiti tidak penting. Mungkin seseorang itu dari bidang sains tetapi luas pembacaannya tentang lapangan ad Din, dan mempelajarinya melalui saluran tepat secara formal atau tidak seperti menghadiri kuliah di masjid, menonton program televisyen berbentuk perbincangan agama, dan sebagainya.
Kita perlu pada anjakan paradigma, sepertimana ditonjolkan oleh baginda s.a.w sebagai seorang suami, terutama dalam menilai sifat agama pada perempuan yang hendak dicari sebagai isteri. Menilai terlebih dahulu dari sudut hati atau batiniah sebelum lahiriah.


Ujian selepas berkahwin

Penulis merasakan ramai sekali isteri yang meminta perhatian dari suami sehinggakan suami terasa rimas dengan sikap ini. Untuk kehidupan rumahtangga yang seimbang, sangat penting dipihak isteri belajar memahami suami dengan meletak diri ditempat suami.

Jika setiap insan menghargai keunikan diri masing-masing, mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, sebuah kehidupan akan menjadi seimbang. Oleh kerana perempuan kuat pada emosi, maka emosinya terpilih untuk hanya disuburkan oleh suami tercinta dan anak-anak.
Kepuasan pada mengisi keperluan emosi hanya boleh diperolehi dari insan yang diberikan emosi itu iaitu suami dan anak-anak. Tidak ada apa sangat yang hendak dicari di luar sana. Bila dah faham, maka tidak berlakulah isteri dan suami 'bermain kayu tiga', dan menjadi bahana adalah anak-anak.

Sebuah perkahwinan itu memerlukan perkongsian fizikal dan minda dalam erti kata yang sebenar-benarnya, interdependence- saling bergantung- Banyak pasangan suami isteri yang terkandas bila sampai pada bab ni. Perempuan kena belajar untuk mencintai dirinya sendiri, sebelum untuk mencintai suami dan anak-anaknya. Persiapan ini perlu, sebagai persedian awal sebelum berumahtangga. Seorang perempuan memang dalam fatrah masa sepuluh tahun pertama perkahwinan, akan merasa seolah-olah tidak memerlukan kawan perempuan yang lain, sedangkan itulah support yang diperlukan terutama ketika emosi terlalu kuat melanda. Suami tidak dapat menampung kehendak emosi itu. Cuba dekatkan diri dengan teman yang sudah berumahtangga, mungkin usia perkahwinan mereka lebih tua, untuk berkongsi itu, dan ini, sedikit sebanyak dapat mengawal emosi yang membuak-buak.

Merancang masa secara berkala

Pada zaman sekarang suami isteri bekerja sama ada sektor awam atau sektor swasta. Apabila ini berlaku iaitu suami isteri bekerja, penulis dapati isteri lebih penat daripada suami, kerana selepas balik kerja mereka terpaksa menguruskan rumahtangga.

Kalau ada anak-anak yang masih kecil, penat mereka lagi bertambah. Tiada akses masa yang terancang, untuk diri dan keluarga. Penulis berpendapat sebahagian besar masa dan sudah tentu tenaga telah diragut untuk negara.
Bekerja sampai overtime, lupa untuk menyediakan keperluan untuk isteri, suami, dan anak-anak, terutama kasih sayang. Akibatnya tenaga untuk keluarga, termasuklah pendidikan anak dan juga hubungan intimasi keluarga amat berkurangan dan lesu.

Kadangkala untuk konsisten membaca el Quran dan melakukan solat sunat juga terbengkalai begitu sahaja. Kitab-kitab yang berguna tidak mampu dibaca dan dihabiskan, malahan hampir tiada akses masa untuk memperolehinya.
Dunia Barat telah mengalami lima puluh tahun lebih awal keadaan pekerjaan yang membebankan akibat kurang akses kepada masa bersama keluarga. Akibatnya keruntuhan moral anak-anak menjadi-jadi.
Gejala sosial tidak sihat sudah menjadi lumrah hidup, gara-gara kurang perhatian dari seorang ibu dan bapa. Mereka telah berusaha memperbaiki sistem ‘rat race’ tersebut. Mereka telah belajar dari kesilapan. Pembahagian jumlah kerja dan bilangan tenaga kerja telah dibahagi lebih adil. Kini mereka kembali menikmati masa bersama keluarga dan akses kepada masa rehat dan aktiviti membaca, bersukan atau seni untuk ‘recharged’ minda, fikiran dan perasaan mereka. Nampaknya sistem kita sudah terbalik dan cuba mengulangi kesilapan mereka.
Jika diperbetulkan hubungan intimasi ini, maka rintangan ini juga mudah diperbaiki dengan penuh bertenaga dan segar.

Bercinta Hingga Ke Syurga

Kadang kala penampilan sesorang itu nampak tip top, berkopiah, berjanggut sejemput, bertudung labuh, berpurdah dan lain-lain lagi, namun apabila golongan ini mula terjebak dalam masalah sosial tidak sihat, siapa yang tidak mahu bercinta dan dicintai, penulis melihat ada petanda yang kurang sedap pada hati masing-masing, ada masalah hati.
Memang mudah nak mengubah luaran, namun teramat susah nak mengikis karat jahiliah dalam hati. Jika terpaksa mengurung atau memenjarakan keinginan (nafsu) yang terlalu memuncak, cuba lakukan sedaya mungkin. Jika terpaksa melepaskan keseronokan yang sering melalaikan Iman, cuba buktikan tanpa banyak soal.
Biar merana dahulu sebelum merana kemudian. Bimbang kalau dah terkena 'bius cinta' nanti, habis satu badan terasa kebas, nak angkat satu jari pun terasa berat. Apabila terbius seseorang itu dengan cinta, segala tindakan seolah-olah seperti diri telah dipukau.

Tiba-tiba menjadi bodoh, tidak pernah mengerti halal haram, dan batas pergaulan. Lebih-lebih lagi si perempuan, makhluk yang banyak menggunakan emosi dan selalu inginkan perhatian. Mereka yang terkena 'bius cinta', secara terangan menolak apa sahaja nasihat yang ditujukan.

Ada juga manusia yang seolah mampu mendengar nasihat, diangguk-angguk apabila dinasihati. Berjanji cuba mengatasi ‘masalah cinta’ itu, tetapi dalam diam rupanya, menolak mentah-mentah. Biusannya sungguh kuat. Jadilah mereka yang terkena penyakit angau. Makan tak kenyang, tidur tak lena, dan mandi tak basah, kerana setiap detik dan masa fikiran telah tertumpah pada keayuan wajah si 'cewek', yang dikatakan solehah, dan cantik bak bidadari. Inilah dikatakan ['Pungguk Rindukan Bulan'].

Mulut melafazkan kata yang melegakan hati si penasihat, tetapi mindanya, dan hatinya tetap sama. Maka tindakannya, menjadi kaku terpana dalam alam khayalan. Kadang-kadang makan minum pun tidak dihiraukan. Deraian air mata ibu tidak dipeduli.

Sebaliknya deraian air mata si anak yang tidak dibenarkan berjumpa si 'kekasih hati' kononnya, itu pula yang mengundang simpati si ibu. Merintih si ibu keseorangan di tikar sejadah, memohon agar diberi petunjuk buat si anak. Bukannya si ibu tidak membenarkan si anak membuat pilihan, tetapi si anak langsung tidak mempedulikan nasihat si ibu akibat dibius cinta 'dos tinggi'. Cukup bahaya.


Pesan-Memesan

Maafkan aku wahai sahabat andai aku tidak menegur kalian. Hati aku membenci apa kalian lakukan, tapi aku hanya mampu menasihati dari jauh. Aku hanya mampu mengalirkn air mata menahan amarah apabila kau tidak mampu memahami kenapa aku diam membisu dalam membenci tindakan kalian walaupun sudah banyak kali menegur. Diam aku bukan kerana benci pada kalian, tetapi marah aku pada perbuatan kalian. Bukan kerana aku dengki, tapi kerana sebuah kasih sayang aku pada kalian.

Bermujahadahlah wahai sahabat pembaca budiman. Jagalah kesucian syariat agama kita. Biarlah diri dicemuh, mahupun disisihkan, asalkan hatimu, agamamu tetap terjaga menunggu masa yang dijanjikan Allah Taala. Ameen.

No comments: