Friday, December 24, 2010

Mengapa Aku Berhenti Merokok??


Mereka mengaut keuntungan atas kesengsaraan si perokok.
Itu tanggapan awal saya setiap kali kerajaan menaikkan duti eksais rokok dengan alasan "rokok membahayakan kesihatan."
Saya tidak pernah membantah tentang bahaya dan puakanya menghisap rokok ini.
Saya setuju malah agama sendiri telah membariskan surah yang melarang kita merosakkan tubuh badan dan membahayakan kesihatan.
Ramainya juga maklum perbahasan ini.
"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan," - Surah al-Baqarah, ayat 195
Bagi saya ayat ini terpakai bukan sahaja untuk yang merokok, bahkan jika kita memandu laju di jalan raya dengan mengundang celaka kepada nyawa dan orang di sekeliling kita, ianya juga satu larangan keras dari agama.
Ya, saya bukan nak berhujah tentang surah atau bercerita seperti orang yang pandai agama tetapi nak bercerita tentang natijah dan padahnya pengalaman yang saya lalui selama menjadikan rokok sebagai teman hidup.
Saya berjinak dengan rokok, sewaktu berusia 15 tahun ketika gelodak jiwa dan perasaan dihambur seribu macam masalah yang bertimpa.
Kononnya dengan merokok dapat menyelesaikan atau sekurang-kurangkan mengurang beban di fikiran. Begitulah dangkalnya minda yang belum matang.
Ternyata rokok sebagai teman duka lara tidak banyak membantu, bahkan menambahkan lagi satu masalah baru, iaitu ketagihan.
Dengan harga yang mahal, sebagai pelajar seperti saya, sering mencari akal dan alasan untuk meminjam atau meminta duit daripada sang ayah untuk memenuhi kehendak nafsu itu.
Mereka yang berhenti merokok setelah mendapat serangan jantung memiliki kemungkinan untuk meninggal 10 kali lebih sedikit dibandingkan mereka yang terus merokok.
Itulah sebabnya, kalau pelajar hisap rokok, mereka mesti 'steng' atau kongsi sikit seorang. Kadang-kadang sebatang kongsi lima orang.
Ianya sesuatu yang 'luxury' (mewah) dan sering digambarkan sebagai seorang yang mempunyai 'gaya dan keunggulan' dan dipandang hebat di mata ramai.
Itu dari sisi pandang seorang perokok. Bagi yang memandang, pasti menyampah!
Di asrama, aneka helah dicerna untuk memastikan ketagihan itu dapat dilunasi. Bayangkanlah, kalau ditangkap kerana menghisap rokok, tak cukup tanah dikerjakan cikgu sekolah.
Oleh itu pelbagai cara digunakan untuk menyembunyikan hanya sebatang rokok.
Antaranya sorok di sisi stoking, sebatang pen yang diubah suai, sesuai dengan saiz batang rokok, siling sekolah, batang-batang besi katil yang mempunyai lubang kecil dan 1001 macam cara untuk menjadi 'penjenayah' tidak bertauliah.
Saya menjadi 'social and regular smoker' pada usia 20an, ketika bertugas sebagai pengemaskini data dan sijil saham di sebuah syarikat saham di ibu kota.
Kerja adakalanya melangkaui, lewat masa dan tamat sehingga subuh hari. Mata kadang-kadang terpejam celik.
Justeru, kononnya untuk menahan mata menjadi 'terang', rokok dijadikan ubat penawar.
Seperti biasa, ubat yang disangka penawar hanyalah dongengan semata tetapi menambah bala, apabila mula batuk tak berhenti pula.
Yang disangka teman atau penawar, rupanya racun berbisa, tak bermata.
Tidak mudah berhenti merokok
Itulah sebabnya, saya simpati dengan si perokok dan sebenarnya tidak mudah untuk berhenti rokok.
Kalau sudah terjebak, cukup perit untuk berjuang meninggalkannya.
Saya berusaha berhenti merokok tiga kali sepanjang hidup ini. Fasa pertama ketika berusia 22 tahun. Berazam tekad dengan cara berdikit-dikit.
Dari 10 batang sehari, berkurang menjadi tujuh, kemudian tiga, seterusnya sebatang sehari. Akhirnya saya berjaya berhenti selama sebulan.
Terkejut juga badan. Tiga hari saya demam dan menggelisah. Macam orang ketagih dadah lagaknya.
Apatah lagi bila tengok kawan-kawan berkepul asap di depan mata.
Ada pula yang tidak menyokong, bahkan memberi rokok percuma berbatang-batang, supaya saya terus bersama seiring sejalan dengan mereka.
Kemudian, saya kembali semula menghisap. Kali ini lebih 'advance'. Dua kotak sehari. Satu rokok jenis biasa dan satu rokok jenis kretek.
Lebih parah, ketika saya membuat kerja-kerja buruh, menanam anak benih pokok getah di kaki bukit.
Rakan serta keluarga anda tidak hanya harus menghadapi penyakit akibat merokok yang anda alami, kebiasaan merokok anda juga akan meningkatkan risiko mereka untuk sakit dan meninggal.
Waktu kerja terik di bakar mentari, lebih gian dan kuatlah rokok dicucuh api.
Fasa kedua, saya cuba cara tradisional. Ambil kelapa muda, belah dan kemudian tembakau rokok di rendam di dalam air kepala itu. Lepas itu minum.
Cukup teruk rasanya dan cukup dramatiklah gayanya, apabila saya kemudiannya muntah!
Ya, bertahanlah saya selama 30 hari sahaja. Bau dan asap rokok cukup tidak menyenangkan.
Tetapi lama kelamaan, ketagihan itu melebihi daripada perasaan tidak mahu merokok.
Rupanya, bukan cara berhenti yang menjadi pokok pangkalnya, tetapi keazaman yang kuat.
Ada beberapa mitos, yang diceritakan bahawa tembakau rokok ini 'disemah' dan jampi terlebih dahulu.
Ada juga yang kata, yang ianya dibancuh dan disiram dengan arak terlebih dahulu.
Ada juga kata, rumput pertama yang dipijak syaitan, setelah ditendang keluar dari syurga itulah yang dinamakan tembakau.
Macam-macam cerita. Ada hadis dhaif dan palsu. Semuanya saya tidak tahu, yang saya tahu, ianya benar-benar membuatkan seseorang ketagih!
Kerajaan kaut untung atas derita si perokok
Sebenarnya selain Fasa Satu dan Fasa Kedua, telah ada beberapa siri kecil, saya berusaha mengadakan protes kepada rokok ini. Kerana pada saya ianya tidak menambah nilai atau memberi sebarang makna.
Cuma yang lebihnya ialah menambah satu penyakit demi penyakit dan menambah wang demi wang untuk menikmati ketagihan.
Malah sumpahan, cacian dan bencinya manusia kepada si perokok juga turut menjulang tinggi. Itu sahajalah yang menambah.
Itu tidak termasuk batuk berdarah, sakit dada, semput, sukar bernafas, pening dan tak bermaya.
Selain itu, menjadi seorang perokok ini bukanlah sesuatu yang membanggakan.
Bayangkan gaya hidup yang tidak sihat dan sanggup berkorban apa saja semata-mata untuk menyedut nikmat asap dan candu.
Saya sanggup bersusah payah keluar rumah jam 3.00 pagi, semata-mata, mencari bekalan rokok. Lihat betapa gian dan bahananya menghisap rokok.
Bila perokok menghentikan kebiasaanya, 79 % dari mereka akan bertambah berat badannya, namun pertambahan rata-ratanya hanya 2.3kg, bersenamlah segera!
Tidak cukup dengan itu, kita penting diri sendiri. Asap yang berkepul, dihidu insan tak 'berdosa' terutamanya si kecil yang tercungap-cungap, cuba menghirup udara nyaman.
Satu lagi, kalau ketandusan wang, ada masanya, terkial-kialnya mencari puntung-puntung lama, untuk dicucuh api, dan dihisap semula.
Macam orang gila, mengaih sampah. Betapa, malunya watak itu, kalau ditonton ramai. Tak percaya, tanyalah kepada yang pernah melalui saat getir itu.
Satu lagi sifat merokok ini, tidak mungkin tidak, ianya ada ciri-ciri seorang 'pengotor.' Tak mungkin tidak, seorang perokok, akan membuang rokoknya di mana sahaja, bumi dipijak dan puntung dijunjung.
Jalan raya, kaki jalan, taman bunga, ladang, bangunan, kubur malah kawasan hospital pun, tidak lepas dengan sikap pengotor ini.
Selepas itu, sudahlah ada ketagihan yang sukar dibendung, kerajaan pula ambil kesempatan kaut untung atas sengsara si perokok.
Betapa malunya menjadi sang perokok.
Sudahlah disumpah, dicerca oleh orang ramai kerana mempunyai tabiat yang tidak elok, kemudian dianiaya pula oleh kerajaan, dengan menaikkan cukai dengan tidak semena-mena.
Dengan alasan-alasan seperti ramai perokok yang tegar, masalah kesihatan perokok yang semakin meruncing dan gejala rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa maka kerajaan seperti biasa mencari jalan mudah dan pintas menyelesaikan masalah tersebut dengan menaikkan harga rokok!
Seorang pembaca menimbulkan persoalan sama ada bersungguh dan ikhlas kerajaan dalam memerangi rokok yang telah dibuktikan membahayakan kesihatan ini atau barangkali, kerajaan lebih suka membiarkan gejala ini berleluasa dan berterima kasih dengan ketagihan perokok ini supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak.
Pohon kepada Allah
"Memang benar sama ada dinaikkan atau diturunkan harga, fenomena rokok amatlah sukar dibendung secara total, tetapi membiarkan perokok mendapatkan bekalan rokok dengan mudah adalah satu tindakan kerajaan yang perlu dipersoalkan," katanya dalam satu laman surat pembaca dua tahun lalu kepada saya."
"Kerajaan dan umum mengetahui, perokok yang ketagihan akan terus berusaha dengan segala kepayahannya untuk mendapatkan bekalan rokok meskipun harganya terlalu tinggi," tulis pembaca itu.
Saya simpati kepada nasib perokok. Apalagi yang tinggal kepada si perokok kalau ketagihan mereka dipermainkan dan dijadikan umpan?
Tak mengapalah tetapi saya tidak ada cara lain lagi untuk berhenti merokok. Sudah cukup banyak ianya menyeksa saya. Wang, masa dan tenaga, dihabiskan untuk sebatang nan durjana ini. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan berhenti dengan serta merta!
Macam-macam cara saya guna. Dan saya sering teringat kata seorang teman tentang rokok.
Amalan berpuasa dari pandangan islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat.. oh yaa! dan juga merokok!
"Setiap hari, walaupun mungkin tidak haram tetapi kau buat kerja yang tidak disukai Allah, pasti sukar mendapat rahmat dari-Nya. Pasti, tidak ada kecukupan dan berkah dalam kehidupan," katanya membuatkan saya terkedu seketika.
Tidak ada cara lain, melainkan memohon pertolongan Allah. Allah sahaja yang tahu sengsaranya hidup sebagai sang perokok. Di luar bergaya, di dalam malapetaka.
Saya mula berdoa dengan melafazkan kata-kata khusus, supaya Allah 'mengkhatamkan' hati saya, untuk tidak merokok lagi.
"Ya Allah. Berhentikanlah tabiat menghisap rokok ini. Hanya pada-Mu sahaja yang berkuasa mengubah hati. Tutuplah hati dan perasaan ingin merokok ini. Aku tidak mahu merana lagi dan tidak mahu melakukan seuatu yang tidak kau redhai," pinta saya sewaktu sujud yang lama.
Bersungguh-sungguh saya pohon. Kerana saya yakin dan pasti, persoalan hati dan semangat yang kuat adalah urusan Allah untuk kabulkan.
Sehinggalah pada suatau malam sekitar akhir tahun 2005, ketika menyala sebatang rokok, mulut saya rasa begitu pahit dan tekak mula menjadi loya menjadikan hati saya terasa begitu mual, benci dan tidak mahu lagi untuk terjebak dengan ketagihan yang memalukan.
Alhamdullilah, doa saya yang tidak putus-putus untuk berhenti merokok, dikabulkan tuhan dan tuhan telah menyelamatkan saya sekali lagi.
Dan, kini sudah hampir empat tahun, hidup saya semakin tenang, fikiran makin matang dan nafas kembali segar dan udara untuk dihirup setiap pagi, di kala subuh terasa cukup nikmat!
Kepada yang berhajat untuk berhenti, sesungguhnya ruang pengampunan dan pertolongan Allah Maha luas, pintalah nescaya diperkenankan.
Kepada yang mahu juga mencuba, cubalah tetapi hadapilah 'azab' yang saya lalui selama 10 tahun menjadi sang perokok.
Kepada yang mahu mencuba, lupakan saja, kerana bimbang-bimbang sukar untuk kembali ke pangkal jalan!
Kepada yang ingin membantu, jangan caci dan hina si perokok tetapi bantu bimbing semangat mereka kerana mereka juga manusia biasa....

Info Penulis

Muhammad Azamin Muhammad Amin @ Azamin Amin adalah seorang penulis yang cukup profilik dengan karyanya seringkali mengisahkan perkaitan dengan kehidupannya serta menyentuh pembaca. Beliau kini merupakan seorang wartawan sebuah akhbar dalam talian tempatan. + azaminamin[a]yahoo.com

Wednesday, December 22, 2010

DI MANAKAH KEDUDUKAN KITA SEBENARNYA?

Pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa ada di antara cara hidup dunia barat yang kita ambil dan telah menjadi sebahagian daripada amalan hidup kita adalah sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam? Sama ada kita terlepas pandang atau memang kita sengaja memejamkan mata dengan perkara-perkara yang selama ini kita tahu bertentangan dengan ajaran Islam, kita masih mengamalkannya kerana ia seolah-olah menjadi penanda aras kepada ketamadunan sesuatu bangsa itu. Lebih malang lagi apabila ada juga di antara kita yang tidak mengetahui langsung perbuatan yang salah itu adalah salah kerana ia sudah menjadi resam kepada cara hidup kita selama ini. Walaupun ia mungkin dilihat hanya sebagai hal yang kecil dan remeh, namun itulah sebenarnya yang membezakan antara Muslim yang benar-benar mengenali agama dengan Muslim yang hanya mewarisi agama daripada ibu bapanya. 


Salah satu contoh yang melambangkan kesopanan yang tinggi pada pandangan masyarakat barat boleh dilihat melalui tata tertib penggunaan pisau dan garfu ketika menjamah hidangan. Mengikut ‘table manners' ciptaan barat, pisau hendaklah dipegang menggunakan tangan kanan dan menyuap makanan yang telah dipotong itu dengan tangan kiri (yang memegang garfu tersebut). Di sini tidakkah kita sedar bahawa Islam melarang umatnya daripada makan dan minum menggunakan tangan kiri?


Dan jika benar kita jahil tentang hukum Islam yang melarang umatnya menggunakan tangan kiri ketika makan, sekurang-kurangnya tidakkah kita merasa janggal apabila makan menggunakan tangan kiri kerana itu bukan fitrah atau tabi'i asal makhluk yang diangkat kemuliaan ciptaannya? Saya juga pernah ditegur kerana memegang garfu dengan tangan kanan kerana tidak mengikut etika yang betul dan tak mahu saya diketawakan kerana seolah-olah saya masih berfikiran kolot. Kadangkala kita sanggup ketepikan ajaran agama kita sendiri hanya kerana mahu menurut cara hidup masyarakat yang tidak mengakui akan kebenaran ajaran Islam, demi dilihat sebagai bangsa yang bertamadun?
Saya berasa sungguh bangga dengan kejayaan Malaysia menganjurkan sukan Komanwel sedekad yang lalu kerana temasya sukan tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa yang berlandaskan kesucian Agama Islam. Ketika itu, seluruh dunia menyaksikan doa umat Islam mengiringi temasya sukan yang disertai oleh pelbagai negara, pelbagai bangsa dan pelbagai agama. Tetapi sayangnya doa itu tidak disusuli dengan perbuatan sebagai masyarakat Muslim. Sering menjadi tanda tanya di dalam kotak fikiran saya, adakah jika atlet kita memakai seluar panjang ketika bersukan, maka ia akan mendatangkan sesuatu yang akan mengganggu pergerakan mereka ketika bersukan? Tetapi bagaimana pula dengan atlet yang bukan beragama Islam?

Kita perlu yakin bahawa Islam bukanlah soal kerohanian (keagamaan) semata-mata, tetapi cara hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang mana telah dijanjikan, akan memperoleh pelbagai manfaat kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Oleh itu, tiada sebarang sebab mengapa penganut agama lain tidak boleh untuk turut mengamalkannya. Sebagai contoh, penggunaan perbankan Islam yang kini meluas diterima oleh masyarakat bukan Islam. Ia tetap memberi manfaat kepada pemegang akaun yang berlandaskan syariah itu tanpa mengganggu gugat pegangan mereka terhadap kepercayaan mereka. Maksudnya juga di sini ialah, tiada sebab mengapa kita perlu mengorbankan beberapa hukum Islam atas nama perpaduan dan toleransi antara kaum, dan tiada sebab mengapa hukum Islam tidak boleh diaplikasikan di Negara yang berbilang bangsa dan agama. Ingatlah, adat resam mungkin boleh ditinggalkan tapi hukum agama bukanlah sesuatu yang boleh diubah-ubah. 

Saya juga ingin mencadangkan seperti mana kerajaan melalui Majlis Agama Islam melarang rakyatnya yang beragama Islam daripada berjudi dan bermain nombor ramalan, perbankan konvensional juga perlu diharamkan ke atas pelanggan yang beragama Islam. Sekurang-kurangnya masyarakat akan mula berfikir dan akan mula sedar bahawa yang haram tetap haram dan menjadi kewajipan untuk kita mencari keberkatan di dalam setiap rezeki dan amalan yang kita usahakan, bukan sekadar melibatkan urusan perbankan sahaja tetapi kepada semua aspek kehidupan.
Ingin juga saya menyentuh tentang persepsi negatif masyarakat kita sendiri terhadap wanita yang bertudung. Mengapakah apabila seseorang wanita itu bertudung, maka wanita tersebut akan dilabel sebagai "kampung" dan tidak terbuka mindanya? Tetapi tidakkah kita tahu, setiap sesuatu itu ada batasannya, begitu juga dengan sifat keterbukaan. Budaya barat yang beginilah yang telah sekian lama membentuk "mind setting" masyarakat yang jelas terbukti memberi implikasi yang merosakkan.


Selalu juga kita terdengar suara-suara yang mengatakan bahawa wanita yang bertudung tidak semestinya baik. Ya, memang benar kerana tudung itu hanyalah sehelai kain yang menutupi aurat wanita tersebut tetapi sekurang-kurangnya jika bertudung, anda telah mengurangkan satu dosa yang anda sedar akan kewujudannya. Janganlah dihimpunkan lagi dengan dosa-dosa yang sering kita lakukan tanpa kita sedari kerana sebagai manusia biasa, kita takkan terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi apabila anda bertudung, amalkanlah tata tertib sebagai seorang muslimah yang baik kerana pada pandangan masyarakat, ia lebih menjejaskan apabila gadis yang bertudung melakukan kemungkaran berbanding gadis yang asalnya tidak memakai tudung. Bagaimanapun, bertudung atau tidak, berserban atau hanya memakai topi Arsenal FC, siapalah kita untuk menilai seseorang itu melainkan ia adalah hak mutlak Allah SWT untuk menilaikannya.


Contoh-contoh tersebut hanyalah sebilangan kecil daripada apa yang kita perlu perbetulkan mulai sekarang setelah sekian lama kita mencuba untuk memisahkan antara urusan agama dan urusan duniawi sedangkan Islam itu sendiri adalah ad-Din yang membawa maksud cara hidup. Bagaimanalah kita boleh hidup tanpa memiliki satu landasan yang benar daripada sebaik-baik agama Allah itu sendiri.

Islam telah menegaskan, jika kita menyedari sesuatu yang tidak sesuai dengan kebenaran berlaku di dalam pengetahuan kita, maka perbetulkan dan ubahlah perkara tersebut dengan segala kuasa yang kita ada, tetapi jika kita tiada kuasa untuk bertindak dan hanya mampu untuk bersuara, maka bersuaralah, tetapi jika kuasa dan suarapun kita tiada memiliki, maka cukuplah sekadar terdetik di dalam hati kita dengan mengakui bahawa perbuatan itu adalah salah dan kita membenci akan perbuatan tersebut, kerana sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. Jesteru itu sama-samalah kita berdoa agar jangan tiba satu hari nanti di mana sudahlah kita tak mahu bertindak untuk meperbetulkan perkara yang mungkar, malah tidak pula merasakan perbuatan yang salah itu adalah salah seraya berkata, alah biasalah tu, apa salahnya?' Sungguh malanglah umat Islam ketika itu kerana musuh sudah pun memenangi ‘the silent war' yang telah sekian lama mereka lancarkan terhadap pemikiran umat Islam seluruh dunia.


Tidak terdetik sedikit pun niat untuk mengguris hati mana-mana pihak, cuma kita tidak mahu di dalam diri kita ini, tersemat sifat-sifat Yahudi yang antaranya akan menyembunyikan sesuatu yang telah nyata benar bagi mereka. Yang benar tetap benar dan kita wajib memperakuinya. Dan saya akui saya juga termasuk dalam golongan yang alpa dan sering terleka, maka saya menyeru dan menasihati diri sendiri jua agar, janganlah diangkat cara dan gaya hidup yang kononnya boleh mengangkat keperibadian kita sebagai bangsa yang maju, moden dan bertamadun sedangkan pada hakikatnya ia sedikit demi sedikit telah menjauhkan diri kita daripada menjadi Muslim yang sebenar. 


Kesimpulannya, yakinlah bahawa kita tidak akan mati kebuluran jika tidak makan apa yang diharamkanNya,  kita tidak akan mati kehausan jika tidak minum arak, dan tidak akan papa kedana dan menderita jika tidak berjudi dan mengamalkan riba. Semuanya akan terjaga jika kita menurut hukum yang dilandaskan Allah SWT, insyaAllah

SOLEHAH : Menjadi Atau Mencari?

Mencari Solehah atau Menjadi Soleh? Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga berhabis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba.
Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat takdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada post kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh! Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab:

“Dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”

“Pandai jaga hati”

Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan ‘baik’ itu yang berbeza.

Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah. Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya.

Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka:

“Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.”

“Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati.”

“Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu.”
Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu?

Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain. Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah! Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita?

Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu.

Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh.

Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita. Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.